Mesej Positif Amy Mastura Menerusi ‘Kalimah’

Published On December 18, 2016 | Hiburan

PETALING JAYA: Penyanyi Amy Mastura menyifatkan single terbaharunya berjudul Kalimah adalah sebuah lagu yang lebih matang dan sesuai dengan imejnya sekarang.

Amy, 45, berkata, dia sudah lama mengimpikan untuk tampil dengan sebuah lagu balada yang menggambarkan jiwanya dan Kalimah muncul pada waktu yang tepat.

“Saya sangat berpuas hati dengan terhasilnya lagu ini kerana sudah lama saya mengimpikan sebuah lagu yang menggambarkan jiwa saya sekarang.

“Ia sebuah lagu yang ringkas namun membawa maksud mendalam dan berharap ia turut memberi kesan positif kepada pendengar,” katanya.

Kalimah adalah sebuah lagu ciptaan sepenuhnya oleh Ardiv Jauhari.

Dalam pada itu, Amy berkata, Kalimah membawa maksud universal yang liriknya menceritakan tentang kata-kata yang sering diucapkan dalam kehidupan seharian.

“Lagu ini mengangkat tentang perkataan yang diucapakan oleh kita. Jika baik sesuatu luahan kata-kata itu, maka baiklah penerimaan orang di sekeliling.

“Sebutlah ayat-ayat positif kerana impaknya juga akan positif, tetapi apabila negatif maka buruklah ia kerana apa yang kita ungkapkan juga merupakan doa buat si penerima dan juga diri kita sendiri,” ujarnya.

 

Sumber : mStar

Like this Article? Share it!